Friday 21 February 2014

MENYUSUN NOMBOR DALAM TERTIB MENAIK DAN TERTIB MENURUN 2

Selain menggunakan permainan blok atau Lego, guru juga boleh membawa murid naik dan turun tangga untuk belajar membilang secara tertib menaik dan tertib menurun. Baru-baru ini, saya terpaksa menggunakan teknik ini kepada Maisurah kerana dia tidak berjaya memahami konsep walaupun dengan menggunakan blok atau Lego.

Berikut adalah langkah-langkah pengajaran dan pembelajaran yang dicadangkan:
1. Minta murid melekatkan kad nombor di tepi setiap anak tangga secara bergilir-gilir. Pastikan bahawa nombor disusun mengikut tertib menaik dari bawah ke atas.
2. Maklumkan kepada murid-murid bahawa mereka akan membilang secara tertib menaik sambil melihat nombor-nombor di tepi setiap anak tangga.
3. Pilih seorang atau dua orang murid untuk naik tangga secara perlahan-lahan. Bimbing semua murid membilang mengikut setiap anak tangga yang murid tersebut pijak.
4. Apabila murid tersebut sampai di atas, minta murid tersebut tunggu sebentar. Maklumkan kepada murid-murid bahawa mereka akan membilang secara tertib menurun sambil melihat nombor-nombor di tepi setiap anak tangga.
5. Minta murid tadi turun tangga dan bimbing semua murid membilang mengikut setiap anak tangga yang murid tersebut pijak.
6. Jelaskan kepada murid-murid bahawa apabila mereka membilang secara tertib menaik, ia adalah sama seperti apabila mereka sedang naik tangga. Kemudian jelaskan kepada mereka bahawa apabila mereka membilang secara tertib menurun, ia adalah sama seperti apabila mereka sedang turun tangga.
7. Langkah satu hingga 5 boleh diulangi untuk seorang atau dua orang lagi murid.
Nota penting: Teknik ini hanya sesuai digunakan dengan bilangan murid yang sedikit (seorang hingga lapan orang murid) dan hanya jika tiada murid hiperaktif terlibat. Kawalan murid adalah amat penting untuk keselamatan murid.

Gambar 1: Membilang secara tertib menaik dan tertib menurun. 



Gambar 2: Membilang secara tertib menaik. 



Gambar 3:Membilang secara tertib menurun.









Pekerjaan online

No comments:

Post a Comment