Thursday 15 November 2012

Aktiviti-aktiviti Kem LINUS 2011

Berikut adalah antara aktiviti yang dilaksanakan semasa Kem LINUS PPD HL 2011. (Belum siap)


 Gambar 1: Banner Kem LINUS 2011

Salam sejahtera. Saya telah mengiring 3 orang murid LINUS Tegar ke Kem LINUS 2011, iaitu kem pertama yang pernah dilaksanakan sejak program LINUS mula dilaksanakan di bawah NKRA dalam sistem pendidikan di Malaysia. Pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan. Sebahagian daripada aktiviti tersebut sudah pernah dipelajari di institut perguruan tempatan dan sebahagian mungkin belum pernah dipelajari di institut perguruan. Mari kita perhatikan beberapa gambar yang telah ditangkap semasa kem tersebut.
 Gambar 2: Aktiviti Senamrobik.

Aktiviti pertama semestinya adalah senamrobik. Mengapa harus laksanakan senamrobik? Ini adalah supaya otak murid cergas dan bersemangat semasa melaksanakan aktiviti sepanjang kem nanti.

 Gambar 3: Praujian LINUS Tegar

Seterusnya adalah praujian. Praujian penting untuk menilai prestasi dan tahap pencapaian murid sebelum kem dilaksanakan.

 Gambar 4: Kolaj Huruf

Kolaj merupakan satu aktiviti yang menarik dan berkesan kerana ia bukan sahaja dapat menarik minat murid (yang meminati seni visual), ia juga dapat merangsang deria murid, lebih-lebih lagi jika murid mempunyai masalah seperti disleksia atau pengamatan penglihatan.

Gambar 5: Domino Nombor 

Domino Nombor merupakan satu permainan yang menarik, di mana murid boleh belajar memadankan nombor dengan bilangan titik yang tepat.

 Gambar 6: Kod Misteri
 
Gambar 7: Kod Misteri - Mencari Perkataan Misteri

Mencari perkataan misteri dengan menggunakan kod misteri merupakan satu aktiviti yang menarik. Ini merangsang minda murid untuk mengenali simbol sambil mencari huruf misteri sehingga perkataan terbentuk. Setelah mendapat perkataan yang dicari, murid membacakan perkataan tersebut di hadapan fasilitator.
Gambar 8: Bowling (untuk Matematik)

Permainan bowling amat sesuai untuk mata pelajaran Matematik. Murid perlu menjatuhkan botol dengan menggunakan bola yang disediakan dan mengira bilangan botol yang jatuh. Murid kemudiannya diminta menulis bilangan botol yang dijatuhkan di lembaran yang disediakan oleh fasilitator.
Gambar 9: Memancing (memadankan huruf besar dengan huruf kecil)
Gambar 10: Memancing (murid memadankan huruf)

Murid-murid saya amat suka dengan permainan memancing untuk kedua-dua mata pelajaran. Murid dikehendaki memadankan huruf kecil dengan huruf besar dalam aktiviti memancing mata pelajaran Bahasa Malaysia. Ikan huruf besar disediakan di dalam bakul setiap murid dan murid dikehendaki memancing ikan huruf kecil yang ada di dalam "kolam" untuk memadankan ikan huruf besar dengan ikan huruf kecil yang tepat.
Gambar 11: Memancing (untuk Matematik)
Gamabr 12: Memancing (memadankan nombor dengan bilangan objek)

Dalam aktiviti memancing mata pelajaran Matematik pula, murid dikehendaki memancing mana-mana ikan (bernombor) di dalam "kolam" yang disediakan. Setelah mendapat ikan, murid menamakan nombor tersebut dan seterusnya mencari kad yang mempunyai bilangan objek yang berpadanan dengan nombor yang dipancing. Murid mengira objek di hadapan fasilitator.
Gambar 13: Bowling (untuk Bahasa Malaysia)
Gambar 14: Bowling (murid mencari perkataan yang tepat berdasarkan gambar pada botol yang dijatuhkan)

Dalam permainan bowling untuk mata pelajaran Bahasa Malaysia pula, murid dekehendaki menjatuhkan botol dengan menggunakan bola dan kemudiannya menamakan objek dalam gambar yang ada pada botol yang dijatuhkan. Murid kemudiannya dikehendaki mengeja perkataan yang disebut dan mencari perkataan yang tepat di dalam bakul yang disediakan oleh fasilitator.







Pekerjaan online

Wednesday 7 November 2012

KEMAHIRAN MOTOR HALUS


 
Aktiviti 1: Bermain doh mengikut kreativiti murid.


Sebenarnya murid pemulihan atau murid LINUS tegar yang belum boleh menulis belum menguasai kemahiran motor halus. Kemahiran motor halus ialah koordinasi gerakan otot kecil yang berlaku dalam mengawal tangan, jari, dan ibu jari. Ia melibatkan kemahiran menggunakan tangan yang berkembang mengikut umur kanak-kanak (1). Bagi kanak-kanak normal, perkembangan kebolehan motor halus mereka berkembang sesuai dengan usia mereka. Biasanya, ia melibatkan koordinasi tangan dan mata yang bermula dengan pergerakan primitif seperti menyusun blok dalam baris yang lurus. Penguasaan kemahiran ini amat penting dalam perkembangan kanak-kanak kerana ia merupakan kemahiran yang amat diperlukan untuk menulis.

Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilaksanakan untuk membantu murid kita menguasai kemahiran motor halus. Mereka boleh menyusun blok, bermain Lego, memasukkan tali ke dalam lubang manik (pastikan tali dan manik besar), serta bermain doh. Terdapat banyak lagi aktiviti yang boleh dilaksanakan untuk membantu murid menguasai kemahiran ini (2) tetapi kita harus pastikan bahawa kita memilih aktiviti yang sesuai untuk murid-murid kita.

Aktiviti yang paling saya sukai ialah aktiviti bermain doh. Semasa saya praktikum pada tahun 2008, saya menggunakan plastisin. Namun begitu, saya tidak lagi menggunakan bahan tersebut kerana saya kurang yakin dengan kandungan yang mungkin ada di dalam bahan tersebut. Kini saya lebih suka membuat doh sendiri. Ia adalah lebih selamat dan tidak bertoksin. Berikut adalah cara-cara membuat doh yang juga dikenali sebagai play doh (3): 

Bahan-bahan :
2 cawan tepung gandum
2 cawan air suam
1 cawan garam
2 sudu besar minyak masak
2 sudu besar krim tartar
pewarna makanan

Langkah-langkah:
Gabungkan semua bahan ke dalam periuk "non-stick" dan kacau sehingga campuran tergumpal (menjadi seketul doh) di tengah periuk.
Sejukkan dan ulikan doh anda sehingga sekata.
Warnakan.

Untuk membantu murid menguasai kemahiran motor halus dengan menggunakan doh, kita boleh membiarkan mereka bebas bermain doh tersebut mengikut kreativiti masing-masing. Setelah mereka bertambah mahir, kita boleh bimbing mereka membentuk huruf mengikut cara menulis dengan betul sambil memperkenalkan huruf kepada mereka.


Aktiviti 2: Membentuk huruf dengan bimbingan guru menggunakan doh (murid menekap huruf pada pinggan kertas mengikut cara menulis huruf dengan betul).




Itu sahaja perkongsian saya pada hari ini. Harap segala yang dikongsikan dapat membantu saudara/saudari semua. Jika ada kesempatan, saya akan memperkenalkan aktiviti-aktiviti lain yang menarik untuk kelas pemulihan dan juga prasekolah pada masa yang akan datang.

Sekian, terima kasih.


Rujukan:
  1. http://www.ceritarasahati2.com/tag/kemahiran-motor-halus/ 
  2. http://handsonaswegrow.com/2012/01/30-kids-activities-materials-for-promoting-fine-motor-skills/
  3. http://onebonez.blogspot.com/2011/07/cara-cara-membuat-homemade-edible.html
 
 
 
 
Pekerjaan online