Aktiviti 1: Bermain doh mengikut kreativiti murid.
Sebenarnya murid pemulihan atau murid LINUS tegar yang belum boleh menulis belum menguasai kemahiran motor halus. Kemahiran motor halus ialah koordinasi
gerakan otot kecil yang berlaku dalam mengawal tangan, jari, dan ibu
jari. Ia melibatkan kemahiran menggunakan tangan yang berkembang
mengikut umur kanak-kanak (1). Bagi
kanak-kanak normal, perkembangan kebolehan motor halus mereka
berkembang
sesuai dengan usia mereka. Biasanya, ia melibatkan koordinasi tangan dan
mata yang bermula dengan pergerakan primitif seperti menyusun blok
dalam baris yang lurus. Penguasaan kemahiran ini amat penting dalam
perkembangan kanak-kanak kerana ia merupakan kemahiran yang amat
diperlukan untuk menulis.
Terdapat
pelbagai aktiviti yang boleh dilaksanakan untuk membantu murid kita
menguasai kemahiran motor halus. Mereka boleh menyusun blok, bermain
Lego, memasukkan tali ke dalam lubang manik (pastikan tali dan manik
besar), serta bermain doh. Terdapat banyak lagi aktiviti yang boleh
dilaksanakan untuk membantu murid menguasai kemahiran ini (2)
tetapi kita harus pastikan bahawa kita memilih aktiviti yang sesuai
untuk murid-murid kita.
Aktiviti
yang paling saya sukai ialah aktiviti bermain doh. Semasa saya
praktikum pada tahun 2008, saya menggunakan plastisin. Namun begitu,
saya tidak lagi menggunakan bahan tersebut kerana saya kurang yakin
dengan kandungan yang mungkin ada di dalam bahan tersebut. Kini saya
lebih suka membuat doh sendiri. Ia adalah lebih selamat dan tidak
bertoksin. Berikut adalah cara-cara membuat doh yang juga dikenali sebagai play doh (3):
Bahan-bahan :
2 cawan tepung gandum
2 cawan air suam
1 cawan garam
2 sudu besar minyak masak
2 sudu besar krim tartar
pewarna makanan
Langkah-langkah:
Gabungkan semua bahan ke dalam periuk "non-stick" dan kacau sehingga campuran tergumpal (menjadi seketul doh) di tengah periuk.
Sejukkan dan ulikan doh anda sehingga sekata.
Warnakan.
Untuk
membantu murid menguasai kemahiran motor halus dengan menggunakan doh,
kita boleh membiarkan mereka bebas bermain doh tersebut mengikut
kreativiti masing-masing. Setelah mereka bertambah mahir, kita boleh
bimbing mereka membentuk huruf mengikut cara menulis dengan betul sambil
memperkenalkan huruf kepada mereka.
Aktiviti 2: Membentuk huruf dengan bimbingan guru menggunakan doh (murid menekap huruf pada pinggan kertas mengikut cara menulis huruf dengan betul).
Itu sahaja perkongsian saya pada hari ini. Harap segala yang dikongsikan dapat membantu saudara/saudari semua. Jika ada kesempatan, saya akan memperkenalkan aktiviti-aktiviti lain yang menarik untuk kelas pemulihan dan juga prasekolah pada masa yang akan datang.
Sekian, terima kasih.
Rujukan:
Rujukan:
- http://www.ceritarasahati2.com/tag/kemahiran-motor-halus/
- http://handsonaswegrow.com/2012/01/30-kids-activities-materials-for-promoting-fine-motor-skills/
- http://onebonez.blogspot.com/2011/07/cara-cara-membuat-homemade-edible.html
Pekerjaan online
No comments:
Post a Comment